Simbol Binatang Malaysia - Harimau

Harimau merupakan lambang yang penting di negara-negara seperti Malaysia dan India. Pada lambang negara Malaysia (Jata Negara), dua ekor harimau yang berdiri di kedua-dua belah perisai melambangkan kekuatan dan keberanian. Lambang harimau juga digunakan pada logo syarikat Malaysia seperti Maybank dan PROTON. Harimau telah dikatakan binatang kebangsaan Malaysia sedangkan ia merupakan salah satu binatang yang terawal muncul di tanah Melayu. Harimau juga melambangkan keberanian dan kekuatan.

Harimau diancam kepupusan bukan sahaja akibat pertembungan dengan manusia yang menganggap jenis kucing buas ini sebagai ancaman keselamatan kepada nyawa manusia dan binatang ternakan, malah diburu untuk memperoleh kulit belangnya untuk tujuan perhiasan, serta anggota badannya untuk dijadikan hidangan eksotik dan perubatan tradisi Asia. Kemusnahan habitat juga banyak menyumbang kepada penurunan bilangan harimau di dunia.

Sekarang dianggarkan cuma tinggal 3,000 ekor harimau daripada pelbagai sub-spesies di dunia. Usaha-usaha sedang dijalankan untuk memulihara populasi harimau. Pada tahun 2005, peristiwa Nicky, seekor anak harimau yang diselamatkan daripada menjadi bahan masakan, dan sekarang ditempatkan di Zoo Melaka, telah menyayat hati ramai rakyat Malaysia dan pencinta alam.

Rencana utama: Harimau




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.