Ikrar Malaysia
Bahawasanya Negara Kita Malaysia
Mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam
kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik;
mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat
dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang
liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan
berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan
menggunakan sains dan teknologi moden;
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga
dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan
prinsip-prinsip yang berikut:
- Kepercayaan Kepada Tuhan
- Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh
kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa
dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi
Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh
diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam
Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara
atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal
Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada
Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan
keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari
betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran
agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama
dalam Rukun Negara.
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai
Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap
negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.
Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah
merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat
setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat
setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin
tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan
mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya
untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan
keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia
dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan
serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan
semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak
sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh
mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia
menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara
ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga
sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi
rakyat.
Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap
rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi
terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara
berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima
dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan
bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin
pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara
memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat
yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin
kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur
tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa
selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak
melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin
oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh
Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada
dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.
Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah
laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang
bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan
Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan
santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam
konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum
di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi
membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta
bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang
harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau
perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu
golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan
yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan
bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat
sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa
dan nilai-nilai murni.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.