Sejarah MHS

Bermula pada 7 Disember 1826, STM dengan rasminya ditubuhkan. Penubuhan ini adalah tidak lama setelah negeri Melaka menjadi wilayah jajahan Inggeris (17 Mac 1824). Penubuhannya adalah ilham Thomas H. Moore yang telah datang ke Melaka pada 1825 atas undangan Milne untuk menjadi tenaga pengajar di Anglo Chinese College. Dalam suratnya yang bertarikh 4 Januari 1825, beliau Thomas H. Moor telah menyatakan hasratnya kepada Arundel di Kota London untuk membuka sebuah sekolah aliran Inggeris di Melaka. 

Ilham beliau telah mendapat sokongan dan perhatian daripada beberapa orang yang berpengaruh, termasuklah James Humphrey iaitu seorang “Superintendent” dalam London Society’s Mission. Dengan bantuan mereka semua inilah secara rasmi “Malacca Free School” dibuka. 

Latar belakang kepada pengasasan sekolah ini berikutan penutupan sebuah sekolah Belanda-Melayu yang ditubuhkan oleh mubaligh Kristian pada 1819. Sekolah Belanda-Melayu itu terpaksa ditutup berikutan pertukaran pemerintahan Belanda kepada Inggeris. Bermula dengan nama “Malacca Free School”, sekolah yang sepatutnya dikemudi oleh mubaligh-mubaligh Kristian terpaksa diambilalih oleh kerajaan British berikutan masalah kewangan dan pentadbiran yang dihadapi oleh mubaligh-mubaligh Kristian ini.


STM bukan sahaja membuka pintunya kepada semua bangsa dan agama, namun ia juga memberikan pelajaran percuma kepada para pelajarnya. Justeru, ia dinamakan “free” (percuma atau bebas). Ini berbeza dengan Penang Free School (1816) dan Singapore Free School (1823) yang sezaman dengan STM, yang mana kedua-dua sekolah ini hanya “free” dari segi pengambilan pelajar sahaja, tetapi mengenakan bayaran (yuran) kepada pelajar-pelajarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.